Modifikasi

BISIMOTO HONDA ACCORD COUPE GRAND TOURING 2013

Memandangkan Honda Accord dilancarkan generasi kesepuluh telah dilancarkan pada Februari 2020, elok kita imbas Accord generasi kesembilan yang kini mempunyai harga terpakai berpatutan.

Accord generasi kesembilan dilancarkan di pasaran tempatan pada September 2013 dan walaupun sudah berusia masih kelihatan menarik di samping pakejnya yang bagus.

Di pasaran kenderaan terpakai asalkan pandai mencari anda boleh menemui unit yang bagus.

Di Amerika Syarikat, Honda Accord secara tradisinya mempunyai varian coupé termasuk generasi kesembilan. Model ini tampil sporti dengan dua pintu dan gayaan badan yang disesuaikan mengikut format coupé.

Apa jadi jika gayaan standard diubah suai? Ini contoh yang dilakukan oleh Bisimoto Engineering di Amerika Syarikat sempena SEMA 2012.

Ubah suai yang dilakukan menyeluruh dari luar hingga ke dalam termasuk enjin V6 yang ditingkatkan kepada 401hp.

Di antara ubah suai enjin yang dilakukan ialah penambahan sistem Nitrous Express (NX) jenis wet shot chemical supercharger, palam pencucuh NGK Iridium, sistem ekzos cat-back Bisimoto dengan peredam Burns Stainless, penutup minyak enjin Bisimoto 360 dan pelincir PurOl “Elite Series” Synthetic.

Bahagian dalam pula dipasang rangka keselamatan JNF Chromoly dengan balutan Bisimotowerks Leather dan kerusi perlumbaan Bisimotowerks GT3.

Turut digunakan ialah balutan takungan (reservoir socks) Bisimoto dan hos braided dari G&J.

Untuk pengendalian, Accord Coupé ini dipasang set suspensi coil dan sway bar dari Progress. Kombinasi tayar dan roda menggunakan Falken Azenis FK453 245/40ZR-19 dibalut pada Buddy Club P1 Racing II Plus 19×9.5 yang diketatkan dengan lug nut jenama sama.

Set brek pula menggunakan angkup Buddy Club Racing Spec Monoblock dan cakera Buddy Club Racing Spec.

Bahagian luar kereta tidak tampil ekstrem, kemas dengan kit Honda Factory Performance® (HFP®) iaitu skirt sisi, depan dan belakang. Cuma kelihatan menonjol ialah spoiler Carbon Creations GT Concept 2 Wing.

Warna Accord Coupé ini bukan cat asli tetapi balutan Gatorwrap dengan skema grafik Denmatic, kit pelekat Bisimoto Accord GT Decal Pack dan kit emblem Bisimoto Accord GT Ghost.

Jadi bagaimana? Sedan eksekutif sememangnya mudah untuk nampak ‘jahat’ dan tanpa ubah suai pun Accord kereta yang bagus untuk keluarga. Untuk mencari Accord Coupé pula seperti mustahil kecuali anda mempunyai AP pelajar dan menuntut di AS!

Kredit foto: Honda

Google ads
Back to top button