Motosikal

DUCATI DEDAH GENERASI BAHARU MONSTER, MONSTER+ 2021. LEBIH RINGAN, KOMPAK

Ducati memperkenalkan generasi terbaharu model Monster 2021 dalam siri web The Ducati World Premiere.

Jentera terbaharu ini didatangkan dengan dua versi untuk pilihan penggemar motosikal iaitu Monster dan Monster+.

Ducati Monster 2021 menawarkan dua pilihan warna merah (Ducati Red) dan hitam (Dark Stealth) dengan dipadankan rim hitam atau kelabu (Aviator Grey) bersama rim GP Red.

Bagi mereka yang ingin kelihatan lebih sporty, model Monster+ merupakan pilihan kerana dilengkapi penghadang angin aerodinamik di atas lampu serta penutup tempat duduk belakang.

Monster terbaharu kali ini dibangunkan lebih ringan berbanding model terdahulu dengan berat kering keseluruhan 166 kg sahaja yang diinspirasikan dari kerangka Panigale V4.

Bahkan, setiap komponen pada Monster 2021 telah direka semula dan diringankan termasuk pada rim 17 inci dengan lebar 3.5 inci di hadapan dan 5.5 inci

Subframe bahagian belakang yang menggunakan teknologi Glass Fibre Reinforced Polymer (GFRP) turut membantu dalam pengurangan berat motosikal ini dengan pengurangan sebanyak 1.9 kg..

Biarpun, masih mengekalkan DNA Monster dengan tangki minyak berbentuk seperti belakang bison, lampu utama, kemasan bahagian belakang dan susun atur enjin pada badan jentera ini.

Bahasa rekaan yang menampilkan ciri-ciri moden dan baharu menyerlahkan penampilan berbeza dengan lampu utama menggunakan LED.

Monster baharu ini hadir dengan tempat duduk lebih menegak dan tinggi iaitu 820 mm. Pilihan tempat duduk yang lebih rendah juga ada disediakan.

Selain itu, hendal Monster didatangkan lebih ke belakang 70 mm manakala peletak kaki pula 10 mm lebih rendah dan 35 mm lebih ke hadapan bagi memberi keselesaan kepada penunggang.

Di bahagian kokpit, ia didatangkan paparan TFT 4.3 inci dengan grafik perlumbaan seperti Panigale V4 malah mudah dikendalikan menggunakan hendal. 

Ia turut memiliki tiga mod tunggangan iaitu Sport, Urban dan Touring mengikut kesesuaian penunggang.

Monster 2021 ini mendapat khidmat enjin berkembar Testastretta 11° 937cc dan menepati peraturan Euro 5 yang mampu menjana kuasa 111 hp pada 9,250 rpm serta tork 93 Nm pada 6,500 rpm.

Didatangkan kotak gear baharu dengan enam kelajuan, jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding 109 hp dan 86 Nm tork pada model terdahulu sekali gus memberi pengendalian serta kepuasan ketika menunggang.

 Dari aspek keselamatan, ia hadir dengan ABS Cornering, Traction Control dan Wheelie Control yang boleh disesuaikan mengikut keadaan semasa.

GALERI

Google ads
Back to top button