Motosikal

HONDA GOLD WING BAHARU BAKAL TERIMA SISTEM KESELAMATAN PANDANGAN 3D

Baru-baru ini timbul lakaran paten yang didakwa milik Honda. Ia kemudian membawa kepada maklumat bahawa syarikat itu bakal memasang sistem mengelak pelanggaran baharu pada motosikalnya. 

Motosikal yang dimaksudkan ialah Gold Wing generasi baru. Kamera yang dapat dilihat pada diagram motosikal itu ialah jenis stereoskopik.

Kamera itu menggunakan dua atau lebih lensa dengan satu sensor imej berbeza bagi setiap lensanya. 

Ini membolehkan kamera meniru pandangan binokular manusia dan merakam imej secara 3 dimensi.

Ramai percaya Honda akan menggunakan mata digital ini bukan sahaja untuk memberi amaran kepada penunggang mengenai halangan di hadapan. Malah mengambil langkah awal bagi mengelakkan sebarang kemalangan. 

Honda akan menggunakan maklumat yang disediakan oleh kamera stereoskopik dan brek gabungan ABS yang dikawal secara elekronik untuk memperlahankan motosikal.

Sistem brek dengan ciri Inertial Measurement Unit (IMU) kini sudahpun dipasang pada model-model baharu. 

Apabila ia digabungkan dengan ciri pandangan 3D, ia akan menjadi sistem brek termaju yang pernah ada pada sebuah motosikal.   

Pasti ramai yang tidak sabar untuk melihat bagaimana teknologi keselamatan terkini ini berfungsi dalam dunia sebenar. Honda dijangka memperkenalkan teknologi ini kepada umum semasa acara Tokyo Motor Show 2019, hujung tahun ini. 

Google ads
Back to top button