Motosikal

LELAKI RAYU PULANGKAN YAMAHA 125Z PENINGGALAN ARWAH BAPA UNTUK CARI REZEKI

Akibat motosikal peninggalan arwah bapa hilang, seorang pengguna TikTok dikenali Manap (@CallMeManap) meminta netizen membantu mencari motosikalnya yang hilang di depan pondok pengawal berhadapan Kondominium PV20 Setapak semalam.

Menurutnya, motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna perak bernombor plat kenderaan JGB4920 itu hilang dan dia menyedarinya apabila mahu bergegas pergi ke tempat kerja.

“Assalamualaikum, minta jasa baik kamu semua kalau ada ternampak motosikal ini tolong beritahu saya, saya dah menggigil ni nak pergi kerja tengok motor hilang.

“Sesiapa yang terambil minta kembalikan kepada saya sebab motor tu saya guna untuk mencari rezeki,” luahnya dalam satu hantaran video.

Katanya, motosikal tersebut sangat berharga kerana merupakan peninggalan arwah bapanya dan digunakan untuk mencari rezeki.

Dalam pada itu, netizen turut bersimpati atas apa yang menimpa lelaki berkenaan dan mendoakan agar semuanya dipermudahkan.

“Semoga dipermudah urusan awak dik, moga ada rezeki untuk dapat balik motor tu. Insya Allah,” komen @SyakirahRosli1494.

“Harap jumpa tapi kalau tak jumpa nak pakai duit kita derma ramai-ramai,” ujar @duckyrafiq. Sementara itu, netizen juga mengutuk tindakan pencuri tersebut dan menyifatkan ia perbuatan sangat tidak bermoral. – KOSMO! ONLINE 

Google ads
Back to top button