Motosikal

MOTOGP KEMBALI KE RIO DE JANEIRO PADA TAHUN 2022 DI LITAR RIO MOTORPARK

Penganjur MotoGP, Dorna Sports mengumumkan bahawa perlumbaan itu akan kembali ke Brazil mulai tahun 2022 selepas kontrak selama lima tahun dengan Rio Motorsports (RMS) ditandatangani. 

Ini membolehkan Rio de Janeiro menjadi hos MotoGp sehingga tahun 2026. Kali terakhir bandar itu termasuk di dalam kalendar MotoGP ialah 2004, 15 tahun lalu. Pembinaan litar Rio Motorpark serba baharu dijangka dimulakan di Deodoro yang akan menggantikan litar di Jacarepagua.

“Saya sangat berbesar hati untuk mengumumkan MotoGP akan kembali ke Rio de Janeiro, sebuah bandar yang cukup ikonik. Brazil merupakan pasaran penting untuk motosikal, perlumbaan dan sukan bermotor. Saya memang teruja untuk melihat MotoGP memainkan peranan yang signifikan mulai tahun 2022,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta. 

Rio Motorpark dijadual siap pada tahun 2021 dan menampilkan litar sejauh 4.5km dengan tujuh selekoh kiri dan enam selekoh kanan bersama jangkaan catatan masa sau pusingan 1 minit 38 saat. 

“Pengesahan bahawa MotoGP akan kembali pada tahun 2020 di litar baharu Rio sememangnya memberi banyak manfaat kepada bandaraya ini. Pembinaan litar di Deodoro merupakan satu pelaburan yang luar biasa dan akan mencipta 7,000 peluang pekerjaan. 

“Ia juga akan menjadikan Rio kembali dilihat sebagai lokasi penting penganjuran sukan-sukan utama. Kami membawakan pembangunan ke Zon Barat dan merancakkan lagi sektor pelancongan di sana.

“Semua ini dapat dilakukan tanpa kami perlu mengeluarkan sebarang belanja kerana seluruh pelaburan itu dibuat oleh syarikat konsesi,” kata Datuk Bandar Rio de Janeiro, Marcelo Crivella. 

Tags
Google ads
Back to top button