Motosikal

SKUTER URBAN ADVENTURE APRILIA SR GT 200 RASMI DILANCARKAN. 2 VARIAN, BERMULA RM19,900

Didi Group yang merupakan pengedar rasmi motosikal berjenama Aprilia di Malaysia hari ini melancarkan skuter bawah 250cc Aprilia SR GT 200 ke pasaran tempatan.

Dilihat sebagai pilihan terbaik kepada mereka yang ingin mendapatkan sebuah skuter kembara dan lincah, Aprilia SR GT 200 hadir dengan reka bentuk menarik dan posisi tunggangan mantap.

SR GT 200 ialah sebuah skuter urban adventure pertama Aprilia. Ia bukan sahaja sesuai untuk ditunggang setiap hari, malah boleh digunakan untuk pengembaraan jarak jauh dan off-road ringan.  

Jentera yang mula diperkenalkan pada acara EICMA 2021 itu nyata pantas mendapat maklum balas positif daripada peminat skuter di seluruh dunia.

Aprilia SR GT 200 dikuasakan oleh enjin iGet 174cc silinder tunggal yang mampu menjana kuasa setinggi 17.4hp pada 8,500rpm dan tork 16.5Nm pada 7,000rpm. Sebagai sebuah skuter, pastinya ia  dipadankan dengan kotak gear CVT.

Ciri Start/Stop, lampu LED, paparan digital LED dan sistem ketersambungan Aprilia MIA (opsyen) membuatkan motosikal ini semakin menarik.

Aspek tunggangan dibantu dengan sistem suspensi Showa yang terdiri daripada fork hadapan 33 mm (jarak pergerakan 122 mm) dan penyerap hentak berkembar yang menyokong sehingga lima tetapan pra-muatan (jarak pergerakan suspensi 102 mm).

Aprilia SR GT 200 ini mendapat rim bersaiz 14 inci dengan tayar 110/80 di depan, serta rim 13 inci dengan tayar 130/70 di bahagian belakang.

Kuasa pemberhentian pula menggunakan brek jenis cakera tunggal serta sokongan ciri ABS saluran tunggal.

Skuter ini turut menawarkan ruang kargo sebesar 25 liter di bawah pelana berketinggian 799 mm, sementara tangki bahan api pula berkapasiti sembilan liter. Aprilia SR GT 200 ditawarkan dalam dua varian iaitu Standard dan Sport. Varian Standard boleh anda miliki pada harga RM19,900 seunit, manakala varian Sport berharga RM20,900.

GALERI

Google ads
Back to top button