Motosikal

TEKUN MOBILEPRRENEUR 2.0. RIDER E-HAILING BOLEH BELI MOTOR DAN ADA MODAL PUSINGAN SEHINGGA RM10K

Tekun Nasional akan melancarkan pembiayaan Tekun Mobilepreneur 2.0 yang menyediakan pembiayaan maksimum sehingga RM10,000 kepada rider penghantaran untuk membeli motosikal baharu dan modal pusingan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu pemohon perlu berdaftar dengan syarikat e-hailing dan melepasi syarat-syarat yang ditetapkan.

Program itu yang akan dilancarkan pada 7 Julai adalah antara usaha kerajaan yang menggunakan dana Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Peruntukan awal sebanyak RM1 juta telah disediakan kepada 100 pemohon awal. Manakala tambahan RM4 juta peruntukan kepada 400 pemohon lagi akan dimaklumkan kemudian.

“Program ini diharap dapat membantu rider untuk meneruskan perkhidmatan mereka. Di samping melonjakkan semula ekonomi negara ketika kita masih berdepan ancaman pandemik COVID-19,” kata Wan Junaidi.

Tekun Nasional merupakan agensi di bawah kementerian yang menyediakan kemudahan kewangan kepada bumiputera untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Program pembiayaan Tekun Mobilepreneur 1.0 yang diperkenalkan pada April, menawarkan pembiayaan khas sehingga RM2,000 untuk membantu rider penghantaran tempatan membaiki motosikal dan menyediakan modal pusingan. Skim yang diperuntukkan kepada 500 rider penghantaran itu telah berakhir semalam.

Lebih 211 permohonan bernilai RM394,000 telah diluluskan sehingga semalam. 

Tawaran itu terbuka kepada semua rider berdaftar melalui syarikat e-hailing seperti Grab, Foodpanda, Bungkusit, Lalamove, MyMakan, Zeptoekpress dan Mrspeedy.

Maklumat lanjut, layari laman web Tekun Nasional di www.tekun.gov.my. – Bernama

Tags
Google ads
Back to top button