Motosikal

YAMAHA LANCAR SKUTER ELEKTRIK EC-05 PADA 1 OGOS DI TAIWAN – RM13,350 SEUNIT

Yamaha Motor Co. Ltd. hari ini mengumumkan bahawa ia akan melancarkan skuter elektrik EC-05 ke pasaran Taiwan pada 1 Ogos 2019. 

Pada September 2018, Yamaha memulakan penyelidikan dengan pengeluar skuter elektrik terkenal Taiwan, Gogoro untuk menjalin kerjasama dan membina perniagaan dalam pasaran kenderaan EV di sana.

Direka oleh pasukan pereka bentuk Yamaha Motor menggunakan platform skuter Gogoro, EC-05 akan dijual di bawah jenama Yamaha menerusi saluran anak syarikat Yamaha Motor Taiwan.

EC-05 dilapor bakal memanfaatkan rangkaian lebih 1,200 stesen menukar bateri GoStation yang dipasang oleh Gogoro Energy Network di seluruh Taiwan. 

Diproduksi oleh pihak Gogoro, skuter elektrik itu dilihat sebagai usaha Yamaha untuk mengurangkan emisi co2 sehingga 50 peratus menjelang tahun 2050 berbanding emisi pada tahun 2010. 

EC-05 ialah motosikal elektrik kelima Yamaha selepas Passol pada tahun 2002, EC-02 (2005), EC-03 (2010) dan E-Vino pada tahun 2014. 

Skuter elektrik itu ditawarkan pada harga NT$99,800 (RM13,350) dengan sasaran jualan sebanyak 20,000 unit dalam tempoh setahun. 

Google ads
Back to top button