Motosikal

CUB PRIX 2020. HONDA RS150 TAPAU YSUKU IKAT TEPI

Penantian Kejuaraan Cub Prix Malaysia selama 8 tahun pasukan Hi Rev SCK Honda Racing berakhir apabila Mohd. Helmi Azman dinobatkan sebagai juara CP150.

Mohd. Helmi berjaya mengatasi Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemitsu Yuzy Honda Racing dengan hanya perbezaan 7 mata sahaja.

Perlumbaan akhir CP150 bermula dengan dua pendahulu kejuaraan, Mohd. Helmi (Hi Rev SCK Honda Racing) dan Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Yuzy Honda Racing) berada di barisan hadapan.

Namun, ia ternyata tidak memberikan sebarang kelebihan apabila kedua-dua pelumba Honda itu menerima saingan hebat 22 pelumba lain dengan kesemuanya ingin menamatkan musim 2020 dengan kemenangan. 

Pelumba pasukan AHM Motorsports Yamaha Racing, Mohd Khairul Ikhwan Ajis muncul sebagai pemenang perlumbaan penutup tirai dengan catatan masa 14’41.976s, hanya 0.001 saat di hadapan Mohd Akid Aziz dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor. 

Calon juara keseluruhan, Azroy, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, keputusan podium keenam musim ini.

Namun demikian, keputusan itu tidak mencukupi untuk pelumba Idemitsu Yuzy Honda Racing itu merealisasikan impian menjulang piala CP150 musim 2020. 

Kedudukan kelima dalam perlumbaan CP150 akhir sudah memadai untuk menghadiahkan gelaran juara CP150 kepada Mohd. Helmi.

“Saya berterima kasih kepada pasukan, kru mekanik, keluarga dan sponsor. Perlumbaan akhir ini agak sengit kerana saya dengan Azroy masing-masing fikirkan hal kejuaraan.

“Saya sebenarnya agak kecewa dengan keputusan dari pusingan penutup tirai ini kerana saya sebenarnya mensasarkan kedudukan podium.

“Tapi saya dihimpit di garisan penamat pada saat-saat terakhir dan terpaksa akur di tempat kelima,” katanya.

Pertembungan sengit dua pelumba itu bermula sejak awal musim apabila Mohd. Helmi melakar kemenangan pertama Hi Rev SCK Honda Racing dalam kategori CP150 sejak mula diperkenalkan pada 2017.

Kali terakhir SCK dinobatkan juara CP130 melalui Azlan Shah Kamaruzaman pada 2012. – FB SCK Racing Team /FB Malaysian Cub Prix/Harian Metro

Google ads
Back to top button