Motosikal

DUCATI KEKAL WARNAI MOTOGP SEHINGGA 2026

Pasukan Ducati bakal bersaing dalam ­saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sehingga musim 2026 selepas menandata­ngani lanjutan kontrak bersama ­pe­nganjur, Dorna Sports minggu ini.

Ducati merupakan pasukan kedua yang akan memberikan komitmen jangka panjang dalam saingan MotoGP selepas KTM mengesahkan penyertaan sehingga musim 2026.

Pasukan berpangkalan di Bologna, Itali itu telah bersaing dalam kejohanan motosikal paling berprestij sejak 2003 lagi malah melahirkan juara dunia menerusi Casey Stoner pada 2007.

Ducati turut melakar sejarah apabila menjuarai kategori pengeluar pada saingan musim lalu selepas menanti selama 13 tahun menerusi dua bekas pelumba mereka, Antonio Dovizioso dan Danilo Petrucci.

Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali me­ngakui sangat teruja untuk memastikan jenama Ducati terus bersaing di peringkat tertinggi dalam usaha kekal relevan dalam arena permotoran antarabangsa.

“Perlumbaan dalam arena permotoran sudah sebati dengan jenama Ducati dan saya harap perjanjian ini membuktikan komitmen kami untuk terus berada dalam kalangan jenama motor terbaik di dunia.

“Namun, saya tidak mahu pa­sukan berpuas hati dengan pres­tasi semasa dan mereka perlu bekerja keras untuk memberikan yang terbaik terutama dalam misi mengekalkan kejuaraan ­ka­tegori pengeluar tahun lalu,” katanya.

Bagi saingan musim ini, Ducati akan diwakili oleh dua pelumba baharu, Jack Miller dari Austra­lia dan Francesco Bagnaia (Itali) yang diberi tanggungjawab untuk menunggang jentera baharu pasukan.

Biarpun, empat lagi pengeluar seperti Yamaha, Suzuki, Honda dan Aprilia masih belum mengesahkan komitmen jangka panjang, mereka akan terus kekal dalam perlumbaan sehingga musim 2022. – agensi

Google ads
Back to top button