Motosikal

HONDA ADV150 LANCAR 5 FEBRUARI 2021. HARGA BAWAH RM15K?

Pagi tadi saya menerima satu mesej Whatsapp daripada Boon Siew Honda (BSH). Sebaik sahaja ditekan pautan yang diberi, terpampang page Facebook rasmi milik Honda Motorcycle Malaysia.

“Sensasi terkini akan datang.

“Free kan diri anda pada 5 Feb 2021 (Jumaat) untuk menyaksikan pelancaran motosikal baharu Honda pada tahun baru ini,” katanya.

Biarpun gambar yang diberi itu dikaburkan, namun ramai sudah boleh meneka bahawa model yang bakal dilancarkan itu ialah skuter adventure, ADV150.

Betul, sudah terlalu banyak artikel ditulis pasal skuter ini sejak beberapa tahun lalu. Namun, bayangnya pun masih belum nampak. Kini, anda tidak perlu menunggu lagi kerana ia akan dilancarkan pada Jumaat depan.

Kenapa 5hb Februari? Mungkin sebagai tanda meraikan pengumuman baru tentang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bakal berakhir pada 4 Februari 2020. Hahaha..

Ok, berbalik kepada ADV150. Model yang cukup popular di pasaran Indonesia itu menjadi pesaing langsung kepada Yamaha NVX. Jika reka bentuk luaran NVX lebih ke arah sporty, ADV150 pula mengetengahkan rekaan sebuah jentera kembara.

ADV150 menggunakan khidmat enjin eSP SOHC dengan sistem penyejukan cecair dan sistem pancitan bahan api PGM-FI bersesaran 149.3cc. Dipadankan dengan kotak gear CVT V-Matic, ia mampu menjana kuasa sekitar 14.5hp dan tork puncak 13.8Nm.

Sebagai sebuah skuter yang boleh dianggap premium, ia dilengkapi sistem brek ABS pada kedua-dua rodanya. Ciri keselamatan ditingkatkan lagi dengan Emergency Stop Signal yang akan menghidupkan lampu kecemasan apabila brek ditekan keras.

Sistem kunci kawalan jauh pula membolehkan penunggang mengesan lokasi motosikal diparkir, selain membantu menghalang kecurian.

Pengendalian diserahkan kepada suspensi jenis fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak Showa, lengkap bersama sub-tangki pada roda belakang.

Aspek pencahayaan pula dibantu oleh penggunaan lampu LED untuk lampu utama, lampu nyalaan siang (DRL), lampu belakang dan lampu isyarat membelok.

Gayaan sebuah jentera adventure diserlahkan menerusi hendal bar yang lebar, posisi tunggangan menegak serta visor angin boleh laras secara manual.

Semua spesifikasi kita dah tahu, tetapi bagaimana pula dengan harganya? Kami menganggarkan ADV150 akan ditawarkan pada harga sekitar RM15,000 seunit di atas jalan.

Sebagai perbandingan, AP Honda Thailand melancarkan ADV150 pada November 2020 dengan harga RM13,446 seunit.

Memang agak mahal kalau dibandingkan dengan mana-mana skuter sekelasnya. Apa pun, kalau dah minat, beli sahaja. Dah lama tunggu kan?

GALERI

Google ads
Back to top button