Artikel Pilihan

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE HQ MUGEN. 6 PERKARA YANG ANDA PATUT TAHU TENTANG FIRMA TALAAN INI

Sewaktu menyertai rombongan Honda Malaysia ke Tokyo Motor Show 2019 baru-baru ini, kami berpeluang untuk melawat ibu pejabat firma talaan terkenal untuk kenderaan Honda, Mugen. 

Lawatan selama hampir empat jam itu mendedahkan banyak perkara menarik tentang Mugen yang saya rasa ramai yang tidak tahu. Teruskan membaca… 

Pertama: Bagaimana sebutan Mugen yang betul?

Tidak dapat dinafikan, banyak sekali versi sebutan jenama ini. Tetapi, menurut Pengurus Besar M-TEC Co. Ltd., Akihiro Kojima, sebutan Mugen yang betul ialah ‘Moo Gen’ dan bukannya ‘Miu Gen’. 

Mugen yang bermaksud tanpa had itu ditubuhkan oleh anak pengasas Honda iaitu Hirotoshi Honda dan hak jenama itu dipegang oleh syarikat M-TEC. 

Kedua: Kemudahan Mugen 

Mugen mempunyai empat buah pejabat iaitu dua di Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Ia terdiri daripada tiga jabatan iaitu sukan bermotor, pengilangan dan produk. Ketiga-tiga jabatan itu dikatakan menyumbang secara saksama ke atas keuntungan firma tersebut. 

Di ibu pejabatnya di Jepun, ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti studio rekaan, pengilangan, 5 buah bilik dyno dan kilang CFRP. 

Ketiga: Logo Mugen 

Grafik mata pada logo Mugen dipanggil sebagai Eye Commander. Sementara tiga blok warna yang ada pada logo itu membawa makna tersendiri. Warna putih bermaksud kebersihan atau ketulenan. Warna merah bererti kesungguhan dan warna emas ialah nombor 1. 

Keempat: Mugen tidak jual enjin kepada pembeli biasa

Ya. Mugen tidak menjual enjin atau komponen prestasi lain seperti conrod, blok dan crankshaft kepada pembeli biasa. Jika mahu membelinya, anda perlu mempunyai sebuah pasukan lumba. 

Dua orang kakitangan Mugen mengambil masa selama seminggu untuk membina sebuah enjin sepenuhnya. Harga sebuah enjin Mugen boleh mencecah 20 juta yen atau RM800,000. Pengsan! Enjin tersebut digunakan oleh Mugen dalam saingan Super GT 500 dan Japanese Super Formula.  

Itu enjin, Mugen bagaimanapun ada menjual pelbagai aksesori seperti perumah cermin sisi, bodykit karbon, pelapik pada bahagian hendal pintu (aksesori paling laris), spoiler belakang, skirting sisi, ekzos, brek, rim, sistem suspensi dan macam-macam lagi yang boleh anda beli. 

Kelima: Barangan cenderahati Mugen hanya dijual secara dalam talian

Bagi mereka yang datang ke ibu pejabat Mugen dan ingin membeli barangan cenderhatinya, anda mungkin akan kecewa. Ini kerana Mugen tidak menjualnya di kedai atau bilik pameran, sebaliknya ia dijual secara dalam talian sahaja. 

Biarpun begitu, kebanyakan barangan tersebut diletakkan sebagai tatapan ramai. Selain barangan cendermata, ruang pameran Mugen dipenuhi dengan barisan enjin, motosikal elektrik, rim, sistem suspensi dan trofi. 

Keenam: Jentera Tuhan Elektrik (Shinden) 

Mugen cukup aktif dalam perlumbaan The Isle of Man TT Race Zero Challenge. Tampil sebagai Team Mugen, ia menggunakan jentera yang diberi nama Shinden bermaksud Tuhan Elektrik.

Mugen berjaya membuktikan keupayaannya apabila berjaya memenangi perlumbaan tersebut selama lima kali. 

Selain Shinden, Mugen turut ada menghasilkan sebuah prototaip yang dibina berasaskan kepada Honda S660. 

GALERI

Google ads
Back to top button