Motosikal

MARQUEZ CATAT KEMENANGAN KE-300 KELAS PREMIER UNTUK HONDA

Juara bertahan, Marc Marquez meneruskan kecemerlangan apabila mengungguli pusingan MotoGP Perancis di Litar Le Mans, pada hujung minggu lalu.

Kemenangan itu lebih manis kerana ia menjadi kejuaraan ke-300 buat pasukan Honda dalam kelas premier dalam tempoh 53 tahun. Kemenangan pertama dicatat oleh pelumba Jim Redman.

Insiden terjatuh beberapa kali semasa ujian kelayakan nyata tidak menjejaskan rentak Marquez.

Lebih menarik lagi, pasukan jurutera Honda memberikan juara dunia empat kali itu jentera yang lebih berkuasa. Enjin yang dipasang pada chasis 2019 itu membolehkan Marquez untuk masuk lewat ke selekoh dan membrek keras.

Pelumba Sepanyol itu meninggalkan pasangan pelumba Ducati iaitu iaitu Andrea Dovizioso dan Danilo Petrucci untuk berpuas hati berada di tempat kedua dan ketiga.

Toyota Avanza – MREC – Desktop

Bermula baik di petak hadapan, Marquez mendahului Dovioso hampir dua saat. Beliau kini berada di ranking teratas selepas lima pusingan dengan kelebihan lapan mata berbanding pelumba dari Itali itu.

Marquez juga selesa dengan 20 mata berbanding pelumba Suzuki, Alex Rins yang hanya mampu menduduki tempat ke-10. Manakala pelumba veteran Yamaha, Valentino Rossi berada di kedudukan keempat dengan 72 mata.

“Perlumbaan di Le Mans memang tidak pernah senang,” komen Marquez tentang litar yang mencabar itu.

Sebelum itu, adiknya Alex Marquez memenangi perlumbaan Moto2 di hadapan dua lagi pelumba Sepanyol iaitu Jorge Navarro dan Augusto Fernandez.

Baru berusia 23 tahun, ini merupakan kemenangan keempat dalam kerjaya Alex sejak tahun 2017.

“Saya gembira kerana adik saya menang dalam Moto2. Apabila melihat Alex menang, saya kata kepada diri sendiri yang saya mesti menang kerana ia pasti menjadi hari yang hebat buat keluarga kami,” kata Marquez.

Tags
Google ads
Back to top button