ROSSI & VINALES BERI LAMPU HIJAU KEPADA SWINGARM KARBON, SISTEM EKZOS BERKEMBAR BAHARU YAMAHA
Pengarah Pasukan Yamaha, Massimo Meregalli memberitahu alat ganti yang diuji di Litar Misano minggu ini telah mendapat lampu hijau daripada dua orang pelumbanya, Valentino Rossi dan Maverick Vinales.
Bakal digunakan pada perlumbaan akan datang, Yamaha membuat kejutan apabila membawakan beberapa perubahan kepada jentera lumbanya.
Selain naik taraf enjin untuk 2020, jentera pasukan factory itu turut dilengkapi swingarm gentian karbon, satu penutup aero pada bahagian atas roda hadapan dan ekzos yang dikatakan sama seperti sistem ekzos berkembar Suzuki.
“Rossi dan Maverick menguji spesifikasi enjin baharu dan semua komponen baharu itu selama dua hari. Kami juga menambah baik aspek aerodinamik badan motosikal ini. Dalam perlumbaan terdahulu, kami berdepan masalah cengkaman, inilah yang ingin kami atasi sepanjang sesi ujian ini,” kata Meregalli.
Dengan hanya dua kemenangan sejak perlumbaan di Litar Assen pada tahun 2017, Yamaha sering dikritik kerana tidak menawarkan alat ganti yang signifikan untuk dicuba oleh para pelumbanya.
Untuk rekod, Ducati menjadi pasukan pertama yang menggunakan swingarm gentian karbon sejak tahun 2009 lagi. Honda kemudian menjasi pasukan Jepun pertama yang tidak lagi menggunakan material aluminium mulai musim lalu. Sementara Aprilia dilapor sudah mula membangunkan swingarm komposit.
Dengan KTM mula menggunakan komponen tersebut di Litar Le Mans tahun ini, ia menjadikan hanya Yamaha dan Suzuki yang masih belum ada pilihan itu.
“Pada peringkat awal, kami menguji prototaip jentera 2020. Kemudian kami fokus pula kepada komponen baru yang akan digunakan pada penghujung musim ini. Secara keseluruhannya, ujian ini berjaya kerana kami dapat menambah baik aspek cengkaman roda belakang, pecutan dan kami rasa lebih kompetitif,” komen Rossi.
Ditanya mengenai apakah fungsi penutup pada roda hadapan, Rossi mengakui dia kurang pasti tetapi mahu ia dikekalkan kerana nampak cantik.
Rossi dan Vinales merupakan antara pelumba yang berada di kelompok teratas dalam sesi ujian di Litar Misano. Rossi berada di kedudukan keempat (daripada tempat ke-13 sebelum ini) dan Vinales melonjak dari tempat ke-17 ke posisi keenam.
Perlumbaan di Litar Misano bakal berlangsung pada 13 hingga 15 September depan.