Motosikal

SKUTER WMOTO ES250i. KUNCI PINTAR, TPMS, BREK ABS. BERMULA RM13,888 SAHAJA

Mforce Bike Holding sekali lagi memeriahkan pasaran skuter tempatan apabila melancarkan model Wmoto ES250i sebentar tadi.

Skuter bersaiz kompak itu dijenamakan semula daripada model Keeway GT270. Berbanding skuter yang memiliki sesaran enjin sama, reka bentuk ES250i lebih kompak dan sesuai untuk semua golongan termasuklah penunggang wanita.

Jentera itu dikuasakan oleh enjin empat lejang bersesaran 244.3cc yang mampu menghasilkan 21hp dan tork 23Nm pada 6,500rpm. Harus tahu bahawa enjin tersebut mematuhi piawaian Euro4 dan dilengkapi sistem pancitan bahan api elektronik.

Menerusi tangki berkapasiti 12 liter anda boleh bergerak sejauh 280km tanpa sebarang masalah.  

ES250i menggunakan sistem kunci pintar bersama ciri Alarm Key Findings yang membolehkan pemilik mengetahui lokasi skuter mereka. Dengan hanya menekan butang, lampu akan berkelip selama beberapa saat dan boleh dilihat dari jauh.

Dari segi kelengkapan, WMoto ES250i didatangkan dengan lampu projektor dan DRL LED. Penunggang juga boleh menyalakan hazard light jika berlaku kecemasan. Bagi kemudahan penunggang, terdapat port USB untuk mengecas telefon pintar dan letakkan sahaja di dalam ruang di bahagian depan skuter.

Aspek keselamatan ditingkatkan melalui brek cakera bersaiz 240mm dengan sistem ABS pada kedua-dua roda. Apa yang lebih menarik, skuter itu dilengkapi sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Sistem suspensi pula terdiri daripada jenis teleskopik di hadapan dan dwi penyerap hentak (belakamg) daripada KYB.

Pelana diperbuat dari tekstur anti-gelincir untuk tunggangan yang lebih selesa. Apabila dibuka, ruang seluas 19 liter di bawahnya membolehkan anda menyimpan barang peribadi dengan selamat.

Pelanggan juga boleh memasang  kotak jenama YH Pro yang ada disediakan oleh WMoto.

Skuter itu hadir dalam tiga pilihan warna iaitu merah, biru dan kelabu. Ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (mana-mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings.

WMoto ES250i boleh didapati di pengedar sah WMoto seluruh Malaysia bermula esok. Jentera tersebut ditawarkan pada harga bermula RM13,888 (tidak termasuk cukai jalan dan pendaftaran).

GALERI

Google ads
Back to top button