" "
Motosikal

SAYA SANGAT GEMBIRA. PERLU RAHSIAKAN DULU PEMBERI YAMAHA XJ6S -ABANG VIVA

Pemilik nama Azwan Omar atau lebih dikenali khalayak sebagai Abang Viva mula meraih perhatian apabila bergerak secara ‘solo’ membantu mangsa-mangsa banjir.

Berbekalkan kereta Viva dan sebuah bot, usaha murni lelaki berasal dari Melaka itu mendapat perhatian sehingga digelar hero tidak didendang terutama dalam kalangan warga maya.

Bahkan, Azwan berwatakan merendah diri tersebut sama sekali tidak menjangka dia akan menjadi popular berikutan tindakan membantu mangsa-mangsa banjir di Selangor dan Pahang.

Terbaharu, dia dikejutkan dengan pemberian jentera Yamaha XJ6S dan beberapa aksesori sebagai tanda penghargaan terhadap jiwa besar lelaki itu.

Azwan memberitahu dia sangat gembira dengan pemberian motosikal berkenaan

“Sudah tentu saya sangat gembira apatah lagi ada orang yang menghargai usaha kecil dilakukan.

“Buat masa ini, saya perlu merahsiakan dahulu siapa yang menghadiahkan jentera berkenaan. Saya akan meminta kebenaran dahulu dan akan umumkan dalam platform media sosial saya kelak,” katanya kepada Mekanika.

Berdasarkan perkongsian di laman sosial Facebook, jentera berkenaan merupakan pemberian seseorang sebelum diserahkan ICITY Motoworld Sdn. Bhd. yang terletak di Shah Alam, Selangor kepada Azwan.

Melalui hantaran laman ICITY Motoworld Sdn. Bhd. , ia berbunyi “Terima Kasih Kepada Abang Viva. Buat Baik Dibalas Baik.” – FB ICITY Motoworld Sdn. Bhd.

Google ads
Back to top button